Tuesday, February 22, 2011

Rahsia itu amanah

Bila saidina Anas selesai dari menjalankan tugasan di rumah Rasulullah, beliau akan terus pulang ke rumahnya. Suatu hari setelah balik lewat dari rumah Rasulullah, ibu Anas bertanya kepadanya : Apa kamu buat tadi?. Beliau menjawab : saya disuruh oleh baginda atas suatu urusan. Ibunya bertanya kembali: Urusan apa?. Anas enggan menjelaskan urusan tersebut kerana beliau mahu menyimpan rahsia urusan peribadi Rasulullah lalu berkata : Alah jalan-jalan sahaja. Jawapan Anas itu membuatkan ibunya gembira lalu berkata : Baguslah kalau begitu, jangan diceritakan dengan sesiapa urusan peribadi Rasulullah.(riwayat muslim)


Begitulah keadaan Abu Bakar yang langsung tidak memberi respon terhadap pelawaan Umar agar menikahi anaknya. Sebaik sahaja Rasulullah menyatakan hasratnya untuk menerima Hafsah sebagai isterinya, barulah Abu Bakar menjelaskan bahawa dia tidak berniat untuk membuat Umar terkilan tapi beliau berdiam diri dengan pelawaan Umar kerana ingin menjaga urusan peribadi Rasulullah. (Bukhari).

Menjaga rahsia peribadi orang memerlukan kekuatan hati dan minda. Tidak semua orang berjaya mengebumikan rahsia peribadi orang lain dengan selamat di dalam hatinya. Ada di antara manusia yang terbakar jiwanya jika mendapat rahsia peribadi manusia lain dan mahu segera dimuntahkan pada telinga-telinga yang ingin mendengarnya.

Menyimpan rahsia ada beberapa jenis. Antaranya memang diberi pesan oleh tuan punya rahsia. Ada juga rahsia yang tidak perlu dijelaskan oleh tuan punya rahsia kerana ia adalah urusan peribadi.

Dalam sebuah hadis ada menyatakan seseorang yang mendengar rahsia orang lain, lalu memandang kiri dan kanan bagi menunjukan betapa ia amat menjaga rahsia rakannya yang sedang menyampaikan hal-hal peribadinya(Tarmizi).





Pepatah ulama ada mengatakan :

Barangsiapa tidak memelihara rahsianya maka rosaklah urusannya. Barangsiapa menjaga rahsianya maka ia pasti dapat menguasai urusannya.

Selemah-lemah manusia ialah mereka yang lemah dari memelihara rahsianya.

Mereka yang bijak menyimpan rahsia maka segala kebaikan di tangannya.

Saidina Ali : Rahsiamu adalah tawananmu. Apabila kamu menceritakan rahsiamu maka kamu jadi tawanannya.

Ada beberapa perkara yang perlu dirahsiakan, terutamanya mengenai urusan kerja hingga berjaya dilaksanakan. Ia adalah demi menyempurnakan hajatnya. Rasulullah pernah bersabda :

Carilah bantuan dalam menyempurnakan hajat keperluanmu dengan merahsiakannya, maka sesungguhnya setiap nikmat itu ada yang berniat hasad terhadapnya (Tabrani dan Baihaqi).

Urusan keluarga merupakan hal-hal peribadi. Ia menjadi keutamaan bagi menjaga harmoni institusi rumahtangga. Bahkan menceritakan hal-hal hubungan kelamin kepada orang lain adalah ditegah oleh Rasulullah dalam sabdaannya :

Seburuk-buruk manusia pada hari qiamat ialah seorang lelaki menyetubuhi wanita atau sebaliknya kemudian menceritakannya(Muslim).

Menyembunyikan keaiban orang lain adalah jelas dituntut di dalam Islam malah Allah memberi ancaman di dalam Al Quraan terhadap orang yang suka menyebarkan keaiban orang lain dengan azab yang pedih. Firman Allah :

Sesungguhnya orang-orang yang gemar menyebarkan keburukan orang-orang beriman adalah bagi mereka itu azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Allah sahaja yang mengetahui betapa pedih azabnya dan Sedangkan kamu tidak ketahui akannya (An Nur : 19).


Bagi mereka yang melakukan dosa dan kesalahan, hendaklah mendiamkannya dan jangan disampaikan pada orang lain. Malah mereka yang menceritakannya pada orang lain tanpa ada rasa bersalah sepatutnya takut dengan ugutan Rasulullah ini , sabdanya :

Semua umatku akan diberi kemaafan melainkan orang-orang yang bongkak dengan dosa-dosanya, iaitu mereka yang melakukan kesalahan di malam hari dan kemudian Allah telah sembunyikan kesalahannya itu pada keesokan pagi, Tetapi ia berkata : Tahukah kamu bahawa aku melakukan demikian demikan semalam. Sesungguhnya pada malam itu Allah telah tutup keburukannya akan tetapi ia berpagi-pagi membuka tutupan Allah ( Bukhari dan Muslim ).
dipinjam daripada= http://ustfuadosman.blogspot.com..

No comments: